Wednesday, 17 October 2012

AMALAN KETIKA KELAHIRAN CAHAYAMATA


KAEDAH MENYAMBUT KELAHIRAN CAHAYAMATA
 
Islam mengariskan beberapa pekara yang disunatkan sewaktu menyambut kelahiran cahayamata, tatacaranya seperti berikut :

PANDUAN UNTUK SUAMI

Membaca surah surah berikut semasa menanti saat kelahiran bayi.
Surah Al-Inshiqaq ayat 1-5 bermaksud :
Apabila langit terbelah  serta mematuhi perintah tuhannya dan sudah semestinya ia patuh dan apabila bumi diratakan serta mematuhi perintah tuhannya dan sudah semestinya ia patuh.

Surah Al-Hasyar ayat 3 bermaksud :
Dan kalaulah tidak kerana Allah SWT telah menetapkan pengusiran (yang  demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah ia akan menyiksa mereka di dunia dan dalam pada itu mereka akan beroleh azab seksa neraka.

PANDUAN UNTUK ISTERI
  • Mandi wajib wiladah (selepas bersalin). 
  • Memperbanyakan istigfar, tasbih, tahmid, takbir, tahlil 
  • Mengucapkan alhamdulilah selepas bayi selamat dilahirkan 
  • Berdoa agar zuriat ini menjadi anak yang soleh dan solehah.
"Wahai tuhan kami berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturanan kami pekara-pekara menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam / pemimpin ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa"

 Penyusuan ibu

Firman Allah SWT bermaksud :
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama 2 tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan (Al-Baqarah ayat 233)

     Doa ketika penyusuan bayi

بسم الله الرحمن الرحيم اللّهُمَّ بَاركْ لنَا وَزِدْنَا مِنْهُ

Maksudnya :
Dengan namamu Ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang wahai tuhan kami, berkatilah dengan apa yang telah engkau berikan kepada kami dan tambahkan daripadanya.

Mandi wajib nifas (kering darah)

Mandi kerana ialah berhentinya darah yang keluar dari rahim perempuan selepas kelahiran anak sekalipun hanya setitik walaupun belum capai 40/6 hari. 
Lafaz niatnya (sahaja aku menyucikan diriku daripada hadas nifas fardhu kerana allah taala)

MENYAMBUT KELAHIRAN

Islam mensyariatkan supaya bayi yang baru dilahirkan setelah dipotong talipusatnya dan dibersihkan serta dibenarkan suami melihat kerana sunat di azankan dan di iqamatkan secepat mungkin.
Ketika bayi itu dibersihkan digalakan pula jururawat atau bidan memperbanyakan zikir atau selawat sehingga selesai tugasnya supaya bayi itu teguh imanya daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT.
  • Azan di telinga kanan.
  • Iqamah ditelinga kiri sangat baik jika dilakukan oleh bapa bayi atau waris yang tertua dalam keluarga tersebut kerana inilah komunikasi awal sebagai pengenalan terhadap kalimah allah SWT untuk diperdengarkan kepadanya selain menjauhkan dari ganguaan syaitan.
  • Membaca surah Al-Qadar ditelinga kanan.
  • Membaca surah al ikhlas di telinga kiri memohon supaya anak tersebut terselamat dari perbuatan  zina dan diperkuatkan iman serta terjauh dari syirik.


TAHNIK

- tahnik dengan manisan madu atau sedikit kurma.
- menggunakan jari manis yang dibaca padanya surah Al-Insyirah.
- dan baca dari surah Toha ayat 25-28
Nabi Musa berdoa dengan berkata : Wahai tuhanku lapangkan bagi ku dadaku dan permudahkan bagiku tugasku dan lepaskan simpulan dari lidahku.

Lakukan ini sebelum bayi diberikan susu ibu. Semoga apabila dewasa ia akan bercakap pekara yang benar dan menjadi anak yang soleh dan baik budi pekertinya kerana kehidupan masyarakat islam nilai budi pekerti yang tinggi mencorakkan peribadi seseorang.

MENANAM URI

Apabila seseorang ibu bersalin, uri yang keluar bersama-sama bayi tidak boleh dibuang begitu sahaja ia mestilah dibasuh bersih-bersih lalu di tanam di kawasan yang sesuai.

Tuesday, 16 October 2012

PROGRAM "KAYUHAN KASIH ASNAF 1" - PENGERANG

 Y.B Dato Haji Harun Bin Abdullah- ADUN Tanjung Surat
 Gambar Kenangan di Kampung Teluk Ampang
 Sumbangan kepada Asnaf terpilih (Saudara Baru)




 Bergambar di Pekan Sungai Rengit
14 Oktober 2012 (Ahad) - Seramai 50 orang sukarelawan Sahabat Dakwah yang terdiri daripada pegawai Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi, Badan Kebajikan Saudara Kita Daerah Kota Tinggi, Majlis Agama Islam Daerah Kota Tinggi dan Ahli Kelab Berbasikal Desaru Utama Bikers (DUBIKES) telah menyertai Program "Kayuhan Kasih Asnaf 1 yang telah diadakan di kawasan Pengerang. Program berbasikal ini turut disertai Yang Berhormat Dato' Haji Harun Bin Abdullah, ADUN Tanjung Surat dan telah menyampaikan bantuan kepada asnaf-asnaf terpilih di kawasan Pengerang.
Kayuhan sejauh 30 km menyurusi jalan pantai, kampung dan Pekan Sungai Rengit telah mendapat sorakan dan tepukan dari penduduk setempat di atas usaha murni yang telah diadakan. Semoga usaha murni yang sedikit ini mendapat kerahmatan dari Allah jua. Sekalung tahniah kepada peserta-peserta yang telah menyertai program ini.

Thursday, 11 October 2012

KURSUS PRA PERKAHWINAN ISLAM


Kursus Pra Perkahwinan yang dilaksanakan di Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi adalah mengikut Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI) yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kursus tersebut adalah diwajibkan kepada setiap individu yang belum pernah berkahwin.

Kursus ini dianjurkan dengan tujuan memberikan maklumat dan pendedahan awal kepada bakal-bakal suami isteri yang akan mendirikan rumahtangga. Ia diharap dapat dijadikan panduan oleh mereka dalam menghadapi kehidupan berkeluarga. PKDKT berharap, kursus ini akan dapat membantu dalam mengurangkan permasalahan rumahtangga dan perceraian yang dihadapi oleh umat Islam di Johor khususnya dan Malaysia amnya.


**
Permohonan kursus ini boleh dipohon melalui pengisian borang yang boleh diambil dari PKDKT atau secara download melalui laman web http://kursuskahwin-kt.blogspot.com/

**
Borang boleh dihantar oleh pemohon di tempat kursus semasa kursus sedang berlangsung.

**
Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian telefon : 013-7175700 / 019-7175898 / 019-7757095

Friday, 3 August 2012

PANDUAN SOLAT SUNAT WITIR DI BULAN RAMADHAN


SOLAT SUNAT WITIR
Agak ramai yang tertanya-tanya berkenaan solat witir khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini. Disebabkan solat witir kerap dijadikan penutup kepada solat sunat tarawih. Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, Justeru timbul persoalan sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?
Persoalan yang wajar dijelas dengan terang dan jelas oleh para ulama Islam. Terutamanya di bulan Ramadhan ini, ramai yang bangun sahur dan beberapa waktu yang ada sebelum sahur dan selepasnya, sementara menanti azan subuh, adakah boleh didirikan solat witir? Adakah perlu solat witir yang telah  didirikan sebelum ini digenapkan terlebih dahulu? atau di batalkan? Atau dibuka semula?. Melalui tulisan ini saya cuba menjelaskannya dengan ringkas.
Saya tidak akan mengulas latar belakang solat witir, dari sudut hukum sunat atau wajib, jumlah ra'akatnya. Saya akan terus mengulas sama persoalan larangan Nabi s.a.w untuk menunaikan dua solat witir dalam satu malam.

SOLAT SUNAT SELEPAS WITIR
      Persoalan pertama adalah sama ada boleh mendirikan solat sunat dengan rakaat genap selepas solat witir. Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah  yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun. Riwayat Ibn Majah mengatakan nabi solat sambil duduk.
      Pun begitu, ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah berniat dari awal untuk solat sunat lain selepas witir seperti berikut :-

  • Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh. Berdalilkan kepada hadis nabi :
اجعلوا آخر صلاتكم بالليل وتراً

Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir sebagai solat terakhir kamu di setiap malam.
(Hadith sohih Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

  • Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat witir selepas itu. Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH. Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada :
1. Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi.
2. Dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup

WITIR DI AWAL DAN DIHUJUNG MALAM
      Berdasarkan maklumat di atas, sedikit perinciannya adalah seperti berikut :-

Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu.
      Ini merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut :
لا وتران في ليلة
Ertinya : Tiada dua solat witir dalam satu malam.
( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)

      Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan. Beliau berkata :

إن من أوتر وأراد الصلاة بعد ذلك لا ينقض وتره ، ويصلي شفعا شفعا حتى يصبح

Ertinya : Sesiapa yang TELAH mendirikan solat witir (pada satu malam) dan kemudiannya ingin mendirikan solat yang lain (sunat) tidak boleh dibatalkan witirnya yang telah dilakukan, justeru hendaklah dia mendirikan solat sunat dua rakaat , dua rakaat sehingga Subuh (tiada witir).

      Menurut nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalngan ulama besar tabien adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik, Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.

      Menurut kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir (buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.

      Hasilnya, untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas melanggar tegahan nabi.

      Selain itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang mengatakan sesiapa yang membatalkan witir (dengan solat satu rakaat bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.

Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.
      Pandangan dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu, seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi witir.
Mereka berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata :

أما أنا فلو أوترت قبل أن أنام ، ثم أردت أن أصلي بالليل شفعت بواحدة ما مضى من وتري ، ثم صليت مثنى مثنى ، فإذا قضيت صلاتي أوترت بواحدة ، لأن رسول الله صلى الله عليه وسلمأمرنا أن نجعل آخر صلاة الليل الوتر

Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah selesai dari witirku sebelum ini (menambah satu agar digenapkan) kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah selesai semuanya, akan aku  akhirinya dengan solat witir satu rak'at, itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir.
(Riwayat Ahmad)

Mereka juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :

إني إذا أردت أن أقوم من الليل أوترت بركعة، فإذا قمت ضممت إليها ركعة فما شبهتها إلا بالغريبة من الإبل تضم إلى الإبل

Ertinya : sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan solat witir, dan apabila aku bangkit (di tengah malam) akan ku gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya.
(Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Ali K.W berkata :

الوتر ثلاثة أنواع فمن شاء أن يوتر أول الليل أوتر ، فإن استيقظ فشاء أن يشفعها بركعة ويصلي ركعتين ركعتين حتى يصبح ثم يوتر فعل ، وإن شاء ركعتين حتى يصبح ، وإن شاء آخر الليل أوتر

Ertinya : Witir itu tiga cara, (Pertama) Barangsiapa yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. (Kedua) Sesiapa yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. (Ketiga), atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam.
(Riwayat Imam Syafie dalam musnadnya)

KESIMPULAN
      Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan secara terlalu ilmiah. Cukuplah pendedahan info dan dalil ringkas seperti di atas.

      Dari pendedahan di atas, jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza. Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan ‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.

      Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain selepas itu.

      Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad s.a.w.

****sumber dari Ustaz Zaharuddin Abd.Rahman

Wednesday, 1 August 2012

JOM PERGI KURSUS KAHWIN


BERTAKWALAH KEPADA ALLAH DAN HINDARILAH KEMURKAANNYA



Akhir-akhir ini gejala keruntuhan akhlak di kalangan umat islam di negeri ini amat membimbangkan. Ditambah pula dengan nipisnya ketahanan iman dan ini telah memberi ruang dan peluang bagi mencemar dan melawan batasan keharusan dan perintah Allah.

Malah maksiat dilakukan tanpa segan silu dan menyeluruh serta secara terang-terangan. Oleh itu ingatlah, Allah melarang perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan dan lebih-lebih lagi jika zina itu sendiri betul-betul dilakukan.

 Firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 32 bermaksud  :
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya perbuatan zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan merosakkan keturunan, menimbulkan pergaduhan, pembunuhan, melahirkan anak yang tidak berbapa dan menjadikan anak itu malu berhadapan dengan masyarakat.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim pula bermaksud :
“Ketahuilah janganlah sekali-kali seseorang lelaki bersunyian dengan seorang perempuan (yang bukan isteri atau mahramnya) dan janganlah sekali-kali seseorang perempuan melakukan perjalanan (musafir) kecuali ditemani oleh mahramnya.

Apabila seseorang lelaki dengan wanita telah berdekatan, susah untuk mengelakkan timbulnya gelora nafsu. Bila berdua-duaan, akal budi sudah tidak dapat berbicara, yang berbicara nafsunya sahaja.

Thursday, 26 July 2012

DOKUMEN YANG DIPERLUKAN UNTUK PERMOHONAN WALI HAKIM

Bagi pasangan yang hendak bernikah dengan menggunakan Wali Hakim atas sebab-sebab tertentu, berikut adalah cara dan dokumen yang perlu dibawa ke Pejabat Kadi Kota Tinggi bagi memudahkan permohonan Wali Hakim.


WALI HAKIM BAGI ANAK TAK SAH TARAF

  • KAD PENGENALAN PEMOHON
  • KAD PENGENALAN PASANGAN
  • SURAT BERANAK PEMOHON
  • SIJIL NIKAH IBUBAPA

WALI HAKIM BAGI SAUDARA BARU
  • KAD PENGENALAN PEMOHON
  • KAD PENGENALAN PASANGAN
  • SURAT MEMELUK AGAMA ISLAM
  • SURAT AKUAN STATUS DIRI DARI PESURUHJAYA SUMPAH MENYATAKAN DIRI BUJANG / BERKAHWIN SEBELUM MEMELUK AGAMA ISLAM

WALI HAKIM BAGI TIADA WALI NASAB
  • KAD PENGENALAN PEMOHON
  • KAD PENGENALAN PASANGAN
  • SIJIL KEMATIAN AYAH

WALI GHAIB
  • KAD PENGENALAN PEMOHON
  • KAD PENGENALAN PASANGAN
  • SIJIL NIKAH IBUBAPA
  • KAD PENGENALAN BAPA SEKIRANYA ADA
  • SURAT BERANAK PEMOHON

WALI ENGGAN
  • KAD PENGENALAN PEMOHON
  • KAD PENGENALAN PASANGAN

Tuesday, 24 July 2012

DIBERI KESABARAN DAN KEKUATAN DALAM RUMAHTANGGA



رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya : Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap 
kaum kafir.
( Surah Al-Baqarah: 250)

Amalan
     Ayat ini merupakan doa orang beriman yang menyertai  tentera Talut untuk menhadapi tentera Jalut agar Allah s.w.t. melimpahkan ke atas mereka kesabaran menhadapi ujian yang berat itu. Perkataan limpahkanlah itu menunjukkan betapa diri mereka memerlukan sifat sabar sebagaimana tanah yang kering memerlukan air. Sabar telah dibandingkan dengan air kerana kedua-duanya mempunyai elemen kesuburan yang dibawa bersamanya. ( Tafsir al-sawi, tafsir ayat 250 surah al-Baqarah ).

     Setiap rumah tangga pasti akan berhadapan dengan masalah walaupun ianya kecil seperti kata pepatah: “ Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Oleh yang demikian, amalkanlah mebaca doa ini untuk menghadapi kehidupan dengan penuh kekuatan dan kesabaran agar rumah tangga yang dibina akan terus berkekalan.

Tips mengukuhkan ikatan rumah tangga
Ø Menerima pasangan seadanya.
Ø Berikan ruang kepada pasangan.
Ø Kesanggupan meluangkan masa bersama.
Ø Menjadi seorang pendengar yang baik.
Ø Memberikan penghargaan dan pujian kepada pasangan.
Ø Katakan ‘ya’ lebih kerap daripada ‘tidak’.
Ø Letakkan kepercayaan kepada pasangan.

Ciri-ciri pasangan yang baik
Ø Menjadi pasangan yang realistik dan bukan hipokrit.
Ø Sentiasa berterus terang dengan pasangan.
Ø Melakukan aktiviti harian bersama.
Ø Saling memahami dan bertolak ansur.
Ø Menunjukkan ‘cinta’ kepada pasangan.
Ø Hormat menghormati antara satu sama lain.
Ø Melupakan peristiwa hitam yang lalu.
Ø Membuang sikap cemburu.
Ø Menunjukkan komitmen kepada pasangan.
Ø Jujur kepada pasangan.

Monday, 23 July 2012

PENANGGUHAN PENERIMAAN PELUPUSAN BAHAN TERBITAN BERUNSUR ISLAM

Adalah dimaklumkan bahawa, bermula pada tarikh 30 Jun 2012 Bahagian Penyelidikan, Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi menangguhkan penerimaan bahan terbitan berunsur islam yang hendak dilupuskan menggunakan alat incinerator di bawah kawalan Kementerian Dalam Negeri. Hal ini adalah kerana, ruang untuk menyimpan barang agak terhad dan pihak kami dengan kerjasama pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dalam perbincangan untuk menghasilkan alat incinerator bagi tujuan proses pelupusan di negeri ini.

Sehubungan itu, pihak kami memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan memohon agar pihak tuan dapat menyimpan bahan-bahan terbitan tersebut di tempat yang sesuai sehingga diberitahu kelak. Segala kerjasama yang diberikan oleh pihak tuan amatlah dihargai dan semoga mendapat rahmat Allah S.W.T.

Sekian, terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...